Kerjaya politik Jugah Muyang

Beliau merupakan ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum parti tersebut dibubarkan.[5]

Beliau pernah memegang jawatan pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pujut sebelum berpindah ke Lubok Antu pada tahun 2016. Seterusnya, beliau dilantik pula sebagai timbalan pengerusi PRS Bahagian Engkilili.[3]

Pada tahun 2018, beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU-18) bagi kerusi Parlimen Lubok Antu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak[3] sebagai calon bebas lalu menang dengan undian sebanyak 5,834 dengan majoriti 1,059 daripada 20,801 orang pengundi.[6][7]

Pada hari Sabtu 12 Mei 2018, beliau bersama lima yang lain telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan parti kerajaan persekutuan ketika itu.[8][9]

Pada hari Ahad 8 Disember 2019, Zuraida Kamaruddin yang merupakan Naib Presiden PKR telah mengecam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR, ketika ucapannya di Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 lantaran dakwaannya bahawa mereka tidak menguruskan parti dengan baik.[10] Pada 17 Januari tahun berikutnya, Zuraida telah menerima surat yang menyatakan bahawa beliau diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab kecaman tersebut atas dakwaan salah laku disiplin.[11] Pada 20 Januari, PKR bahagian Sarawak telah mengeluarkan kenyataan menyokong Zuraida serta menggesa Lembaga Disiplin PKR agar menarik balik surat tunjuk sebab yang dikeluarkan. Jugah menafikan keterlibatan beliau dalam sokongan terbabit sambil menambah bahawa beliau memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar Ibrahim.[12]

Beliau pernah dilantik sebagai naib presiden PKR.[13]

Pada hari Jumaat 5 Jun 2020, Jugah telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau keluar PKR lalu menjadi wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.[14] Keputusan beliau adalah kerana rasa kesalnya terhadap masalah dalaman antara parti dalam PH serta peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa kemelut politik Malaysia 2020 yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.[15] Susulan itu, penguasaan kerusi PH Sarawak menjadi lapan daripada 31 kerusi Parlimen di negeri tersebut manakala 21 orang ahli Parlimen menyokong PN dan dua orang ahli Parlimen berkecuali.[16] Malaysiakini.com melaporkan bahawa Azmin Ali bersama Ali Biju, Anggota Parlimen Saratok, berunding dengan Jugah untuk keluar daripada PKR sejak dua minggu sebelum pengumumannya.[17] Pada pagi keesokan harinya, beliau berada di kediaman rasmi Azmin Ali bersama Ali Biju untuk mengadakan pertemuan.[17] Pada tengah harinya pula, beliau bertemu dengan Muhyiddin Yassin di Putrajaya bagi menyerahkan aku janji menyokong kerajaan Perikatan Nasional.[18][19]